Syarikat ladang herba terbesar di negara ini, Nasuha Enterprise Sdn Bhd bercadang mendirikan sebuah universiti di ladangnya dekat Pagoh di sini yang bernilai RM300 juta khusus untuk menjalankan pembelajaran dan penyelidikan herba.
Pengarah Urusannya, Nasuha Kasian ketika memberitahu Bernama hari ini berkata beberapa siri rundingan antara pihaknya bersama pakar-pakar herba dari China, Australia dan Amerika Syarikat telah diadakan bagi menzahirkan penubuhan universiti tersebut.
"Mereka mengalu-alukan rancangan kami. Malah ada yang menyatakan usaha mendirikan universiti herba pertama di kawasan lebih 1,000 hektar di ladang kami itu adalah perkara yang ditunggu-tunggu selama ini," katanya ketika ditemui di sini.
Nasuha berkata rancangan untuk mendirikan universiti itu tercetus setelah memikirkan pentingnya hasil penyelidikan syarikatnya bersama Bahagian Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) beberapa tahun lalu yang perlu diteruskan untuk kepentingan generasi masa depan.
Antara kajian yang dihasilkan kerjasama dua pihak itu katanya adalah mengenai kandungan air perahan Pokok Pecah Kaca (Citroblanters), salah satu daripada 135 spesis herba yang ditanam di ladang syarikat tersebut di Pagoh di sini, yang boleh menyekat pertumbuhan sel kanser.
Ubat-ubatan alternatif kepada kaedah kemoterapi itu ternyata berkesan setelah bahan tersebut disuntik ke atas tikus putih yang dijangkiti kanser.
Beliau berkata penemuan luar biasa itu membolehkannya membantu menyembuhkan para pesakit kanser yang datang mencuba herba sebagai alternatif kepada perubatan moden.
"Hanya dengan adanya sebuah Universiti Herba ianya dapat meneruskan kajian khasiat herba kepada kehidupan manusia," katanya, sambil menyatakan syarikatnya telah menyediakan kertas kerja mengenai cadangan penubuhan universiti berkenaan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi mendapatkan kelulusan.
Menyentuh tentang perusahaannya, beliau yang turut mengeluarkan rempah ratus jenama Mak Siti itu berkata syarikatnya telah membeli sebuah mesin khas yang boleh membantu proses mengeluarkan pati herba sama ada untuk kegunaan perubatan atau bahan wangi-wangian.
"Kita akan mula menggunakan mesin canggih ini pada tahun ini bagi mengeluarkan pelbagai jenis minyak dari herba termasuk serai wangi yang sangat diperlukan oleh pasaran tempatan dan antarabangsa ketika ini," katanya.
Nasuha Enterprise Sdn Bhd sehingga kini telah mengeluarkan lapan jenis makanan tambahan termasuk Teh Gora, Kembang Semangkuk, Pegaga dan Asam Gelugor yang telah disahkan selamat digunakan oleh Bahagian Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
KOPIPES FROM:
--BERNAMA